A. PENGENALAN
Sejarah bermula pada awal tahun 1970-an apabila kajian yang dijalankan oleh Perunding Shankland CO & Partner telah mengenalpasti bahawa kawasan pantai sepanjang 26 km yang menganjur dari Tanjung Siang ke Tanjung Punggai amat berpotensi bagi dimajukan sebagai aktiviti kawasan pelancongan. Lanjutan daripada ini pembangunan pelancongan peringkat pertama telah dijalankan pada tahun 1975 di kawasan sepanjang 6 km dari Tanjung Lompat ke Tanjung Punggai. Satu nama yang sesuai, sedap didengar dan mudah diingati serta dapat menggambarkan ciri-ciri tempatan telah diberi bagi kawasan tersebut. Nama Desaru telah terlahir hasil dari dua perkataan Desa yang bermaksud kampung dan Ru iaitu sejenis pokok pain yang tumbuh meluas di kawasan tersebut. Selepas lebih 20 tahun pembangunannya nama Desaru kini tersohor dan dikenali di serata pelusuk rantau ini.
Menerusi pelaburan yang dijalankan oleh KEJORA melalui Bahagian Pelancongan pada peringkat awal dahulu pelbagai bentuk dan jenis kemudahan telah dapat dibangunkan iaitu 2 buah hotel kelas sederhana, sebuah resort chalet, padang golf 18 lubang, sebuah kawasan perkhemahan dan sebuah Pusat Pelawat Harian. Bagi memperkenalkan Desaru , usaha-usaha promosi telah dijalankan menerusi tiga kaedah iaitu pengiklanan di media cetak, penyertaan dalam pelbagai misi dan ekspo pelancongan serta pelaksanaan aktiviti "calender of events". Hasil dari usaha-usaha ini dan pembangunan berterusan yang dijalankan kini nama Desaru dan beberapa produk pelancongan KEJORA seperti Tanjung Balau, Teluk Punggai dan kawasan sekitar telah tersohor dan dikenali di merata pelusuk rantau ini.
Peringkat-peringkat pembangunan selanjutnya menyaksikan penglibatan aktif oleh sektor swasta dan KEJORA memainkan peranan sebagai penyelaras dan pemangkin bagi mempercepatkan pelaburan swasta. Penglibatan sektor swasta telah membolehkan pembangunan projek-projek yang lebih besar telah dapat meningkatkan imej KEJORA sebagai pelopor pusat pelancongan